Dens Care

Kalau Gigi Sakit Selepas Tampal – Punca dan Cara Hilangkannya

Sakit gigi selepas tampal gigi

Anda dah dapat rawatan tampalan untuk gigi berlubang—tetapi sekarang gigi anda pula terasa sakit. Bukankah rawatan sepatutnya menghentikan kesakitan? Bukan anda sahaja yang mengalami ketidakselesaan selepas tampalan gigi. Ramai pesakit akan rasa sakit atau sensitiviti dalam beberapa hari selepas prosedur. Namun, dalam kebanyakan kes, ia hanya sementara dan boleh dirawat.

Kalau rasa sakit selepas tampal gigi memang tak turun turun, ketahui cara melegakannya dan bila anda perlu berjumpa doktor gigi jika kesakitan menjadi terlalu teruk.

Sebelum Tampalan: Bolehkah Tampal Gigi Semasa Sakit?

Sakit gigi ringan hingga sederhana akibat kaviti adalah antara sebab paling biasa seseorang mendapatkan tampalan. Dalam kes ini, ya— tampalan gigi bukan sahaja selamat, malah penting untuk membuang bahagian gigi yang rosak dan menampalnya semula. Rawatan ini biasanya melegakan kesakitan sejurus selepas prosedur selesai.

Namun, jika sakitnya teruk, berdenyut, atau disertai dengan kebengkakkan, ini mungkin menandakan saraf gigi telah terjejas atau terdapat jangkitan. Dalam situasi begini, tampalan sahaja tidak mencukupi, anda mungkin memerlukan rawatan akar gigi atau prosedur lain terlebih dahulu.

Pastikan anda memaklumkan kepada doktor gigi tentang tahap kesakitan anda supaya mereka boleh memilih rawatan yang paling sesuai.

Kenapa Gigi Masih Sakit dan Berdenyut Lepas Ditampal?

Dry socket

Sakit selepas tampalan boleh berlaku atas beberapa sebab:

Tisu saraf masih sensitif: Jika tampalan dibuat dekat dengan saraf, gigi boleh menjadi sensitif terhadap suhu panas atau sejuk.

Tampalan terlalu tinggi: Jika tampalan tidak seimbang dengan gigi bertentangan, ia boleh memberi tekanan setiap kali menggigit, lalu menyebabkan kesakitan.

Iritasi pada saraf: Prosedur tampalan mungkin menyebabkan sedikit trauma pada saraf, terutama jika kawasan yang dirawat sudah sedia dalam keadaan teruk.

Reaksi terhadap bahan tampalan: Dalam kes jarang, sesetengah individu mungkin sensitif terhadap bahan yang digunakan (terutama amalgam atau resin komposit).

Cara Menghilangkan Sakit Gigi Selepas Tampal Gigi

1. Guna Ubat Gigi Sensitif

Jika gigi terasa ngilu bila terkena angin, cuba guna ubat gigi khas untuk gigi sensitif seperti Sensodyne Rapid Relief atau Colgate Sensitive Pro-Relief. Ubat gigi ini mengandungi bahan aktif seperti potassium nitrate atau stannous fluoride yang membantu menyekat isyarat sakit dari saraf gigi. Hasilnya tidak serta-merta, tetapi selepas beberapa kali penggunaan, anda akan rasa perbezaannya.

2. Elak Makanan Panas, Sejuk dan Berasid

Gigi yang baru ditampal mungkin lebih sensitif terhadap suhu ekstrem. Untuk 2–3 hari pertama, elakkan kopi panas, ais batu, buah sitrus, makanan pedas atau masam. Pilih makanan bersuhu sederhana dan bertekstur lembut seperti sup atau kentang lenyek.

3. Ambil Ubat Tahan Sakit

Ubat seperti paracetamol (Panadol) boleh membantu mengurangkan sakit dan bengkak. Ibuprofen amat berkesan jika kesakitan berpunca daripada keradangan saraf atau gusi. Ikut dos yang disyorkan pada label. Jika perlu makan ubat lebih daripada 2–3 hari, jumpa doktor gigi untuk pemeriksaan semula.

4. Kumur Air Garam Suam

Kumur dengan air garam (½ sudu teh garam dalam segelas air suam) boleh membantu mengurangkan bengkak dan mempercepatkan penyembuhan tisu. Ia juga membersihkan kawasan sekitar tampalan, terutamanya jika gusi terasa pedih. Kumur perlahan selama 30 saat dan ludah, dilakukan 2–3 kali sehari.

5. Rehatkan Gigi dan Kunyah di Sebelah Lain

Jika tampalan dibuat di sebelah kiri, elakkan mengunyah di situ buat sementara. Gunakan sebelah kanan untuk makan agar gigi yang baru ditampal tidak tertekan. Juga elakkan makanan keras, melekit atau kenyal seperti karamel, kacang atau kerepek.

6. Kompres Sejuk Jika Ada Bengkak

Jika pipi atau rahang terasa bengkak, gunakan pek ais selama 10–15 minit. Balut ais dengan kain dan letakkan di bahagian luar pipi, bukan terus pada gigi.

7. Elak Produk Pemutih Gigi Buat Sementara

Ubat gigi atau ubat kumur dengan bahan pemutih boleh menyebabkan iritasi pada gigi yang sensitif. Untuk minggu pertama, gunakan produk yang lebih lembut dan bebas bahan penghakis.

Bila Perlu Jumpa Doktor Gigi?

Sakit selepas tampalan biasanya hilang dalam beberapa hari hingga seminggu. Tapi anda perlu berjumpa semula dengan doktor gigi jika:

  • Sakit bertambah teruk dari hari ke hari.
  • Tampalan terasa terlalu tinggi atau longgar.
  • Sensitiviti terhadap suhu atau tekanan tidak berkurang selepas 1–2 minggu.
  • Terdapat bengkak, nanah atau demam—tanda kemungkinan jangkitan.

Dalam kes seperti ini, doktor gigi mungkin perlu mengubah tampalan, menyesuaikan ketinggian, atau melakukan rawatan lanjut seperti rawatan akar gigi.

Hilangkan Gigi Sakit Selepas Tampal di Klinik Pergigian Dens Care

Kunjungi Klinik Gigi Dens Care di Cheras

Dental clinic cheras, klinik gigi cheras

Sakit selepas tampalan gigi adalah sesuatu yang biasa dan kebanyakannya akan hilang sendiri. Namun, penting untuk menjaga kebersihan mulut dan elakkan tekanan pada gigi yang dirawat. Jika sakit berlarutan atau bertambah teruk, jangan tunggu lama—buat temu janji dengan doktor gigi anda secepat mungkin.

Ingin dapatkan nasihat lanjut atau rawatan gigi? Kunjungi Klinik Pergigian Dens Care untuk pemeriksaan menyeluruh dan rawatan profesional.

Need Help?